Tazkirah Remaja: Membazir jejas khusyuk solat

PERASAAN marah timbul selepas melihat seorang hamba Allah yang sedang membiarkan air paip mengalir deras tanpa henti-henti ketika dia berwuduk. Perbuatannya itu menyebabkan air melimpah dan bertakung di tempat mengambil wuduk berkenaan.

Bayangkan berapa banyak air yang digunakan untuk membasuh semua anggota wuduk. Yang mengecewakan adalah dia begitu asyik membasuh muka dan dibiarkan paip air terbuka deras. Amalan itu adalah satu pembaziran yang dilarang Islam. Itu baru melakukan perkara wajib belum diikuti lagi yang sunat.

Jika dikalikan dengan lima anggota wuduk maka lebih kurang 25 minit masa diambil dan selama itulah air akan terus mengalir. Entah berapa jumlah bil yang terpaksa ditanggung kalau ada sepuluh orang seperti lelaki itu. Apabila penulis menegurnya lalu dia memandang dengan muka menyinga seraya berkata 'berwuduklah'.

Sebenarnya kerana kejahilan, kita tidak rasa kita sedang melakukan dosa. Dosa membazir, Allah sudah nyatakan dalam al-Quran. Membazir itu saudara syaitan. 'Title' yang Allah gelar kepada si pembazir dengan kalimat 'saudara' maknanya dekat sangat dengan perangai syaitan, saudara! bukannya sepupu atau dua pupu. Saudara itu tidak tahulah sama ada anak saudara, bapa saudara tetapi yang penting membazir adalah seolah-olah sedang dirasuk syaitan.

Hamba Allah yang membazir tadi sudah melakukan dosa kerana membazir dan ia sudah pasti menjejaskan tumpuan (khusyuk) solatnya.

Wuduk sebenarnya untuk membersihkan rohani serta jasmani tetapi jika ketika membersih dalam masa yang sama 'mengotorkan' dengan amalan pembaziran dibimbangi akan mengganggu kualiti solat. Boleh jadi juga ini antara penyebab sudah lama bersolat tapi tidak berubah.

Sebagaimana yang kita sedia maklum Islam melarang keras umatnya mengamalkan cara hidup membazir dalam semua urusan yang berkaitan dengan penggunaan air, perbelanjaan harta, pengurusan masa dan penggunaan tenaga. Perbuatan membazir adalah tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak.

Mereka seolah-olah lupa bahawa rezeki yang diperoleh itu sebenarnya datang daripada Allah s.w.t. Mereka menggunakan rezeki itu secara tidak wajar dan bukan pada tempat yang sepatutnya.

Dalam soal ini, Imam al-Syafie mengatakan pembaziran itu dengan pengertian mengguna atau membelanjakan sesuatu harta bukan pada jalan kebenaran atau dengan cara yang tidak memberi manfaat tetapi tidaklah pula dikatakan membazir jika ia dilakukan pada pekerjaan atau amal kebajikan. Definisi ini telah dipersetujui jumhur ulama.

Walaupun para ulama memberi pengertian pembaziran itu hanya dalam skop pembaziran harta, tetapi tidak bererti dalam perkara lain tidak berlaku pembaziran. Apa sahaja perbuatan yang menjurus kepada pengurusan atau pekerjaan yang merugikan, ia termasuk dalam erti kata melakukan pembaziran.

Berdasarkan apa yang telah disebutkan tadi, pembaziran boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

1. Pembaziran harta

2. Pembaziran masa

3. Pembaziran tenaga

Ketiga-tiga jenis pembaziran ini berlaku tanpa kita disedari disebabkan kelalaian kerana terlalu ghairah mengejar cita-cita atau terlalu lemah dalam mengurus atau mentadbir sumber yang ada seperti masa dan tenaga.

Ibnu al-Qayum al-Jauziah mengatakan terdapat sambilan bentuk pembaziran yang sering dilakukan manusia antaranya:

1. Pembaziran ilmu pengetahuan - iaitu membazir jika tidak diamalkan pada jalan kebaikan.

2. Pembaziran amalan - iaitu membazir jika tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas

3. Pembaziran kekayaan - iaitu membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah s.w.t.

4. Pembaziran hati - iaitu membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah s.w.t.

5. Pembaziran tubuh badan - iaitu membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah s.w.t.

6. Pembaziran cinta - iaitu membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

7. Pembaziran masa - iaitu membazir jika tidak diurus dengan sebaiknya.

8. Pembaziran akal - iaitu membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada Agama.

9. Pembaziran zikir - iaitu membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Semoga nasihat ini memberi manfaat kepada kita semua.

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati